warkah pembahagian pusaka Ayahanda dan hibah Bonda

 

Bismillahirrahmanirrahiim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh. Warkah ini adalah untuk Ibu kami Zaharah Binti Dollah dan semua lapan beradik anak-anak Mek. Semoga kita semua sentiasa dalam lindungan Allah S.W.T.

 

Objektif

Tujuan penulisan adalah untuk memurnikan urusan pembahagian tanah pusaka Ayahanda Hj Mat Salleh Bin Hj Awang. Alhamdulillah kita telah pun berjaya mengurus pembahagian tanah  di Kubang Batu dengan mulus tanpa sebarang masalah. Semoga kerja buat kali ini sentiasa dalam bimbingan Allah jua hendaknya.

Mok Long, Mok Ngoh, Kak Ni, Kak Ma, Cik Ba, Cik Ra, Pok Su.

Pok Uda di sini Cuma bertindak sebagai pemudah cara untuk kita sama-sama menghalusi dan lebih memahami seterusnya mengupas persoalan-persoalan yang mungkin timbul. Sedangkan yang bertungkus lumus berusaha dari aspek teknikal dan pengurusan sejak dahulu hingga sekarang adalah Kak Nor Aini, anak ketiga dalam keluarga kita dan secara peribadi Pok Uda kaguminya sebagai “Iron Lady In My Family”.

Mohon maaf Kak ni, kerana aku banyak soal itu dan ini, sesungguhnya segala persoalan yang diajukan bukanlah kerana prejudis dan tidak percaya kepada adik beradik. Semata-mata untuk lebih jelas lalu menjelaskan pula kepada semua, yang mungkin tertanya-tanya sendirian tapi tidak tergamak untuk menyatakan.  Semoga Allah memudahkan Urusan Kak Ni, didunia dan diakhirat dengan berkat susah payah yang dihadapinya bagi menyelesaikan urusan ini. Aamiin.

            Sebelum melanjutkan tulisan marilah sama-sama memperbaharui niat kita : “Bahawa kami cuba selesaikan urusan harta pusaka ini bagi memenuhi tuntutan agama agar menyegerakan pembahagian pusaka kerana Allah Taala”.

            Ayat al-Quran yang paling jelas agar disegerakan pembahagian harta pusaka ialah ayat 11 dan 12  dari Surah al-Nisa’. Telah ditentukan hak siapa yang berhak bagi harta si mati dengan kadarnya, tentunya mengandungi  hikmah yang besar daripada Allah swt. Sangat menakjubkan dua ayat ini begitu sempurna, lengkap dengan segala formula dan pecahan. Dari ayat-ayat inilah terbitnya kitab-kitab faraid dengan pembahasan yang lanjut berjilid-jilid. Pembahagian pusaka perlu disegerakan bagi mengelakkan perkara seperti berikut berlaku :

 

1.   Memakan dan menguasai harta dengan cara yang batil.

2.   Wasiat tidak disempurnakan dengan segera.

3.   Bilangan waris yang berhak bertambah akibat kematian berlapis.

4.   Pembahagian yang salah akibat lupa keterangan sebenar.

5.   Harta tidak terurus dan terbiar.

6.   Urusniaga tidak dapat dijalankan.



Mek,

            Jutaan terima kasih sebetulnya tidak mencukupi bangi mengungkapkan penghargaan buat Ibu kita. Mek sebenarnya telah menguruskan dengan penuh amanah segala harta pusaka sejak sekian lama. Masih ingat, saban tahun Mek membanting tulang sepenuh kuderat mengusahakan tanaman padi  dan setiap musim menuai hasil padi  perkara pertama yang dilakukan ialah mengasingkan 10% hasil untuk dikeluarkan sebagai zakat dan itu sudah berlebihan, sepatutnya 2.5% sahaja kerana pertanian dijalankan dengan bantuan sistem pengairan dan baja . Hasil pendapatan yang penuh berkah inilah yang menjadi darah daging kita adik beradik.

 Masih ingat, bagaimana hasil jualan padi, getah, durian, rambutan dan segala mak nika yang terkait dengan tanah pusaka itu Mek akan kumpulkan dan bahagikan kepada semua anak-anak. Ini merupakan amalan Mek sekian lama, sejak aku masih kanak-kanak. Sehingga duit raya, duit sedekah anak-anak juga Mek simpan dan serahkan kepada setiap anak nya mengikut hak masing-masing.

            Tanpa didikan akademik, tak tahu tulis baca, mampu menguruskan akaun serumit ini. Semua itu diorganisasikan dalam otak sahaja. Tak perlu disket atau hard disk yang berteknologi tinggi. Bayangkan kalau mendapat peluang belajar, kita semua mungkin jadi anak seorang professor adanya.

                Dalam menguruskan hal sebesar ini mungkin ada sedikit sebanyak kekhilafan, terlepas pandang dan sebagainya. Maka kami 8 beradik redha dan sedia untuk halalkan terlebih atau terkurang pembahagian sesama kami sepanjang dibawah pengurusan Mek yang sangat cemerlang. Semoga Allah memudahkan urusan Mek, didunia dan diakhirat dengan berkat susah payah yang dihadapi sepanjang memikul amanah ini. Aamiin.

 

Persoalan Faraidh

Pembahagian yang dibentangkan ini adalah mengikut ketetapan faraidh. Urusan berkaitan faraidh telahpun diselesaikan semasa peristiharan notis pusaka tahun 80an dahulu. Nama Mek dan setiap orang dari kita ada tercatat dalam geran dengan pecahan-pecahan tertentu mengikut yang berhak, bersama-sama dengan nama mak saudara juga sepupu.

Peringkat kedua ialah proses pecah sempadan dengan keluarga Mak saudara dan Sepupu, juga bedasarkan pecahan bahagian diatas, yang memakan masa begitu lama dan rumit. Kemudian sifir yang sama digunakan pada peringkat ketiga iaitu pembahagian antara kita adik-beradik. Namun pada kali ini sifirnya akan berubah sedikit kerana melibatkan hibah dari bahagian Mek.

 

 

Persoalan Hibah

            Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya. Pemberian secara hibah bukan bertujuan untuk mengharapkan pahala dan bukan bertujuan untuk memuliakannya, tetapi hibah adalah lebih kepada pemberian yang berbentuk kasih sayang”.

                                                                                                            https://wasiat.com.my/

               

Ciri-ciri hibah adalah seperti berikut:

  1. Suatu akad pemberian milik harta kepada sesuatu pihak.
  2. Harta yang boleh dihibah ialah ain harta, bukannya hutang atau manfaat.
  3. Akad hibah dibuat tanpa mengenakan sebarang balasan (iwad).
  4. Akad hibah berkuat kuasa semasa hidup pemberi hibah.
  5. Akad hibah dibuat secara sukarela tanpa paksaan.
  6. Akad dibuat bukan bertujuan untuk mendapat pahala atau memuliakan seseorang.

 

Dalam konteks kita, hibah ini berserta wasiat. Melalui dokumen yang kita tandatangani sebelum ini Mek mewasiatkan bahawa dia dengan suka rela menghibahkan semua bahagiannya dari tanah pusaka tersebut kepada anak-anak tanpa sebarang paksaan atau pujukan dari mana-mana pihak. Kemahuan Mek sendiri ialah semua bahagian miliknya dibahagi dengan kadar pecahan sama rata samada kepada anak lelaki atau anak perempuan. Wawasannya ialah setiap anak mesti dapat satu tapak bangunan tepi jalan dan sesiapa yang mahu serta mampu boleh membinanya sekarang.

Perlu dicatat juga disini bahawa urusan hibah yang mirip seperti ini pernah berlaku antara aku dengan Mek. Beberapa tahun lepas Mek mengajak aku ke kaunter PNB dan mengisi borang hibah dengan meletakkan nama aku sebagai satu-satunya penerima hibah bagi wang pelaburannya dalam akaun ASB. Wasiatnya secara lisan ialah "Sekiranya Mek meninggal dunia maka penerima hibah (Aku) mesti mengagihkan wang tunai yang diterima tersebut sama banyak kepada semua anak-anak Mek". 

Begitu jelas apa kemahuan Mek sebenarnya, sebagai anak marilah kita sama-sama menghormati kemahuan ibu kita. Dokumen ini adalah sah sebagai bukti wasiat Mek sekiranya apa-apa berlaku kepada aku sebelum sempat menyelesaikan urusan. 


 

Persoalan pembahagian pelan 1

            Pelan dibawah adalah untuk tanah tapak rumah asal mek, sepanjang tepi jalan dan membawa ke dusun durian. Ini merupakan pelan terkini setelah melalui beberapa ubah suaian untuk memastikan pembahagian yang paling baik dan menepati kehendak Mek.

 


Pelan 1              
                                                  

 

            Dalam pelan ini setiap orang mendapat 2 petak tanah. Satu petak dari hibah Mek di sepanjang tepi jalan dan satu petak lagi di bahagian belakang membawa ke dusun.  

            Kak ni kena ambil bahagian bertanda “A” kerana rumah sudah siap dibina. Mok Long pula mengabil petak bertanda “B” kerana bangunan kedai siap dibina. Cik Ba pula mengambil petak bertanda “H” yang bersambung terus dengan petak belakang, dan ini telah dipersetujui diperingkat adik beradik perempuan, tidak perlu melibatkan adik- beradik lelaki kerana bahagian dusun lelaki telahpun ditetapkan. Jadi untuk bahagian tepi jalan hanya petak bertanda C,D,E,F,G sahaja yang terlibat untuk pengundian.

            Dibahagian dusun pula Mok Long perlu ambil petak bertanda “K” yang lebih kecil ukurannya (0.26ek)kerana petak “B”miliknya lebih besar (0.161ek). Namun setelah dicampur kedua-dua petak tepi jalan dan dusun jumlahnya sama sahaja iaitu 0.421ek untuk setiap adik beradik perempuan. Hanya petak bertanda L, M dan N sahaja dibahagian ini yang perlu melalui proses pengundian oleh Mok Ngoh, Cik Ra dan Cik Ma.

            Petak dusun bertanda “I” dan “J” diperuntukkan kepada anak lelaki. Mek meminta supaya Pok Uda mengambil petak “I” dan Pok Su “J” tanpa mengundi, bagi memudahkan pengurusan dengan tanah bersebelahan (Mok cik Semat) kerana Pok uda tinggal dekat. Aku bersetuju  dan berharap Pok Su juga setuju dengan saranan Mek ini.

 

Persoalan pembahagian pelan 2

Pelan dibawah adalah tanah seberang tali air yang dahulunya sawah dan sekarang ini  kebun getah. Pembahagian kawasan ini lebih mudah kerana agak “direct”.

           


Pelan 2

                                   

Dalam pelan ini setiap anak mendapat satu petak. Petak bertanda “O” DAN “P” untuk anak lelaki sementara “Q, R, S, T, U, V” untuk anak perempuan. Semua petak dari bahagian ini perlu melalui proses undi untuk menentukan tempat masing-masing. Pengundian atara anak lelaki dan perempuan dilakukan berasingan.

 

Adakah yang terlebih atau terkurang ?

Persoalan 1

Kenapa petak “A” lebih besar, iaitu keseluruhan 0.432ek berbanding keseluruhan 0.421ek bagi adik-beradik perempuan yang lain?.

Jawapan

 Ya memang terdapat perbezaan sebanyak 0.011ek. Nilai ini terlalu kecil untuk diperkirakan namun, mari kita perkirakan. Di sudut atas petak “A” ada binaan Surau yang tidak mungkin di roboh oleh pemilik petak tersebut. Selain itu separuh dari jalan yang digunakan oleh jiran belakang juga termasuk dalam petak yang sama. Bila ditolak keluasan tapak surau dan jalan maka keluasan  petak “A” sebenarnya lebih kecil dari 0.421ek.

Persoalan 2

            Kenapa keluasan bahagian adik beradik perempuan bila di darab dua melebihi keluasan bahagian lelaki di kedua-dua tempat iaitu dusun dan seberang tali air?

            Jawapan

Kerana semua milik Mek telah dihibah sama rata. Pemilik petak “A” pula tidak mengambil bahgian di kawasan dusun, jadi sebahagian kecil hibah milik Mek ditukar ke dusun dan seberang tali air untuk diagih sama rata kepada semua anak lalu memberi kesan kepada  pertambahan keluasan bagi bahagian anak perempuan di kedua-dua tempat namun setiap satunya tidak melebihi keluasan satu bahagian lelaki.

Persoalan 3

Kenapa petak “V” lebih besar iaitu 0.289ek berbanding petak-petak lain untuk anak perempuan 0.288ek?.

Jawapan

Ya terdapat perbezaan 0.001ek. Nilai ini juga terlalu kecil untuk diperkirakan namun mari kita perkirakan. Memang sukar untuk menghasilkan pembahagian yang betul-betul “solid” tanpa terlebih atau terkurang di mana-mana tempat sekali pun. Maka bahagain yang terlebih di petak ini sebanyak yang tersebut diatas mohon dihalalkan kepada pemilik yang bakal menjadi tuannya kelak. Jika ada sesiapa mahu menuntut juga silakan tuntut bayaran dari pemiliknya nanti. Harga untuk 0.001ek dibahagi dengan 10 setiap bahagian.

 

Persoalan Kos

        Kos pengurusan berkaitan akan ditanggung bersama oleh semua penerima pusaka dan hibah. Hanya upah juru ukur sahaja yang dikenakan iaitu sebanyak rm250 bagi satu bahagian.

        Wang pengurusan sebanyak RM50 yang dikumpul sebelum ini masih dalam simpanan Kak Ni, akan digunakan bagi membeli simen dan besi paip untuk dijadikan sebagai penanda sempadan.

Persoalan Undian

        Proses undian akan dilakukan dengan instrumen yang bakal ditetapkan kemudian melalui aplikasi google meet pada tarikh yang juga akan ditetapkan kemudian.


Kesimpulan

            Ketahuilah setelah  tamat urusan pembahagian ini Mek masih lagi memegang hak pemilikan keatas tanahnya namun sesiapa mahu membina bangunan dalam petak yang diperuntukkan amat dialu-alukan.   Pemilikan mutlak setiap penerima hibah akan berlaku selepas kematian penghibah sesuai perjanjian yang ditandatangani terdahulu.

            Bagi bahagian pusaka pula setiap petak sah sebagai milik penerima seusai urusan ini. Pemilik mula bertanggung jawab terhadap petak masing-masing dari segi penyelengaraan dan berhak keatas segala manafaat darinya. 

           

Penutup

 Alhamdulillah akhirnya pengurusan pusaka arwah ayah dan hibah harta Ibu kita telah sampai ke tahap ini. Sesungguhnya segala yang berlaku dahulu dan sekarang adalah atas kehendak Allah Taala semuanya. Kenapa sekarang, setelah adik beradik mencapai tahap umur melebihi 40 tahun semuanya, maka terbuka jalan untuk menyelesaikan pembahagian ini .

Tentang pengambilan manafaat harta yang telah lalu, sejak tanah ini berstatus pusaka pada 1982, marilah kita saling menghalalkan sesama kita. Ada terlebih atau terkurang dalam menikmati hasil kebun yang kadang banyak dan kadang sedikit.

Akhir sekali marilah kita berdoa :

“Ya Allah, Aku percaya semua adik beradik kami adalah orang baik-baik. Maka bantulah kami dengan tidak mempersulitkan urusan ini. Permudahkanlah urusan kami, satukan hati kami, buangkan sifat-sifat mazmumah dalam hati kami, gantikan dengan sifat mahmudah. Jadikan kami dalam kalangan orang-orang yang bersyukur. Aamiin yaa Rabbal Aalamin".


 

 

 

 

 

 

 

           

 

 

 

 

 

 

Comments

Post a Comment